Jumaat, 15 Ogos 2014

HARUMAN KASTURI

Kosmo yang membuat laporan tentang kasturi:


Anugerah Kijang Jantan

Kasturi bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai mempunyai kelebihan dalam dunia perubatan tradisional. Ia merupakan entiti paling berharga yang didatangkan dari tubuh kijang jantan.

'BAHAWA dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas. Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi.' Mengamati petikan hadis riwayat Al-Bazzar ini membayangkan kepada kita betapa keenakan bauan kasturi itu sudah lama disebut dan disampaikan dari mulut ke mulut.

Sekian lama merentangi latar zaman, waktu dan masyarakat, rahsia kehebatan kasturi terus diperkata. Hinggakan apa sahaja yang berbau harum dikaitkan dengannya.

Ungkapan 'seharum kasturi' juga mudah ditemui dalam bait puisi turun-temurun, lirik lagu cinta dan juga bicara romantis.

Namun, sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang istimewa ini? Bagi yang keliru, kasturi disangkakan ekstrak pati bunga, buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri pembuatan minyak wangi.

Sebenarnya, istilah kasturi (bahasa Inggeris: musk) merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil kelenjar kijang jantan.

Walaupun kerap ditemukan di bahagian antara perut dan genital, kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas dan juga kepala.

Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras.

Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian beralkohol.

"Sejak ratusan tahun lalu, ia digunakan dalam pembuatan wangi-wangian. Kasturi juga bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai menjadikan bau haruman lebih tahan lama.

"Pendek kata, ia merupakan produk haiwan yang paling berharga dan haiwan tertentu sahaja menghasilkannya," ujar peniaga Tarmizi Yusuff, 35, yang ditemui di bazar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.

Menurutnya, dalam dunia ini, hanya terdapat lima jenis haiwan yang menghasilkan kasturi iaitu kijang jantan, lembu, musang, kura-kura dan tikus. Paling popular adalah kasturi kijang jantan yang hidup di pergunungan Himalaya.

"Bukan tikus yang macam kita jumpa di lorong dan longkang, tapi jenis tikus yang besar saiznya," terangnya segera tatkala melihat penulis mengerutkan dahi membayangkan haruman dikaitkan dengan makhluk yang gemar habitat kotor itu.

Apa yang dimaksudkan adalah rodensia besar seperti memerang iaitu tikus muskrat (Ondatra zibethicus). .

Mula menjual kasturi di gerainya sejak tahun 2005, Tarmizi memberitahu dia mendapat bekalan dari seorang rakan niaga dari Nepal.

"Ada juga kasturi yang berangkai dan harganya antara RM500 hingga RM1,000, bergantung pada bilangan kasturi yang bersambung bersama.

"Pembeli kasturi ini terdiri daripada golongan mereka yang turut berniaga barangan yang berkaitan dengan minyak wangi. Ada juga yang membeli sekadar minat mengumpul atau menganggapnya sebagai perhiasan.

"Lebih istimewa apabila ada pelanggan warga Bangladesh dan Pakistan yang membelinya untuk dimakan kerana percaya ia mempunyai khasiat perubatan," katanya.

Dalam bidang perubatan tradisional Cina, kasturi dipercayai mampu mengembalikan kesedaran seseorang yang pitam atau pengsan, melancarkan peredaran darah, merangsang penyingkiran darah haid, mengurangkan kesan bengkak dan meredakan kesakitan.

Oleh kerana spesies kijang yang menghasilkan kasturi sukar ditemui, saintis Cina beralih kepada sains dan teknologi untuk mengembangkan potensi perubatan.

Ia dilakukan dengan penternakan artifisial mamalia tersebut seterusnya mengekstrak bintil kasturi tanpa perlu membunuh kijang. Pengambilan bintil kelenjar itu secara berjadual menggalakkan penghasilan kasturi sekali gus mendorong upaya reproduksinya.

Kasturi diangkat sebagai penawar ajaib di kalangan masyarakat konvensional di Nepal, Pakistan, Siberia dan Mongolia.

Di India pula, penggunaan kasturi telah lama diserap dalam kaedah perubatan Ayurveda. Kononnya, ia mampu meredakan penyakit asma, ekzema, demam, sakit kepala dan ulser. Bagaimanapun, pembuktian klinikal masih dijalankan tentang dakwaan tersebut.

"Kegunaan paling popular adalah dalam industri pembuatan minyak wangi. Baik minyak wangi atau atar yang didatangkan dari Mekah atau India, terdapat juga pengusaha yang memasukkan butiran kasturi itu ke dalam botol jualan. Ia akan menambah nilai harganya," kata Tarmizi.

"Ada yang keliru tentang hukum ia digunakan untuk bersembahyang. Kalau hendak mengulas lebih mendalam tentang itu, saya kurang arif," ujarnya.

Dianjurkan pertanyaan ini kepada Mufti Johor, Datuk Noh Gadot berkata, kekeliruan mengenai hukum sah dibawa sembahyang ini terjadi memandangkan kasturi berasal dari haiwan.

Selain faktor itu, bintil kelenjar ini juga 'dipisahkan' dari tubuh haiwan tersebut ketika ia masih hidup, atau tidak disembelih.

"Sama seperti bulu kambing (yang telah dibersihkan) digunakan sebagai alas atau dijadikan sebahagian daripada pakaian ketika bersembahyang, begitulah juga dengan kasturi.

"Hakikatnya, ia adalah entiti yang wujud secara sendiri pada tubuh haiwan itu. Oleh kerana sifatnya yang bersih, kasturi tidak melanggar syarat sah solat bagi seseorang yang memakai harumannya," jelas Noh.

Bagi peniaga minyak wangi dan kasturi seperti Tarmizi, dia mengakui ada juga di kalangan pengunjung gerainya yang tidak mempercayai itulah rupa kasturi yang sebenar.

Menyingkap pengalamannya berniaga, kasturi jualannya itu paling kerap dipertikai oleh warga Pakistan yang mengatakan bahawa agak mustahil bagi orang biasa memiliki kasturi dengan mudah, apatah lagi dijual di pasar atau kaki lima.

"Mereka pelik melihat kasturi dijual dengan harga semurah ini di Malaysia.

Kata mereka, kasturi jarang sekali dimiliki oleh orang di jalanan.

"Harga kasturi di kawasan asal ia ditemukan sangat mahal mengikut kualiti gred dan keasliannya. Ia boleh mencapai harga sehingga ribuan ringgit sebiji. Beberapa gram butiran kasturi sahaja sudah mencapai harga ratusan ringgit," katanya.

Rabu, 13 Ogos 2014

Masak Lemak Ikan Tenggiri dan Kulit Rambai

Resepi orang Pahang. Hampir tidak percaya yang kulit rambai ni boleh dimakan. Tidak terlintas pun.
Resepi ni terkeluar bila kawan pejabat saya bawakan kami seguni buah rambai. Apa lagi sambil makan sambil bersembang, dan keluar macam-macam cerita. Bila Taufiq salah seorang staff, "sedap ni Kak Wa, kalau buat masak lemak ni". Kalau orang muda pun cakap sedap pasti istimewa hidangan ni.

Saya pun tanya pada  Kak Tun, yang saya anggap sebagai mak di pejabat ni. Dia pun tunjukkan cara dan bahan-bahannya. kat sini saya tunjukkan cara orang perak masak. Maaf jika derhaka pada resepi. Cara masak pun mungkin berterabur sikit.


Bahan-Bahan
kulit rambai (Dibasuh dan direbus)
Kunyit hidup* (saya pakai serbuk kunyit je)
Bawang kecil*
cili api*
cili hidup*
Serai (dititik)
santan (saya guna Santan kotak)
Ikan tenggiri

Cara Masak
Bahan bertanda * dikisar
masak bahan kisar dan serai hingga agak kering air.
masukkan santan dan kacau selalu. Gunakan api kecil.
masukkan kulit rambai yang direbus. Masak sebentar.
Masukkan ikan tenggiri. Perasakan dengan garam. Tunggu sehingga ikan masak.
Tidak perlu asam keping kerana kulit rambai agak masam.

Percubaan pertama yang berjaya. Alhamdulillah. Warnanya tidak kuning kerana cili yang digunakan semua berwarna merah.

                                                                                                                                                                                                                                                                                                                                     


Isnin, 11 Ogos 2014

REMPAH KARI IKAN DAN AYAM/DAGING



 Rempah kari ikan dan rempah kari ikan/daging dari Citra Klasik. Rempah kari ini pun boleh tempah dengan saya juga. Mesti tertanya-tanya, best ke rempah ni? sedap ke?

Harganya mungkin agak mahal jika dibandingkan dengan jenama yang biasa kita beli. Tapi keistimewaan rempah kari ini dia datang dengan  rempah ratus yang lain, cili kering(untuk kari ikan),  dan ada daun kari lagi. Bagi yang tinggal di taman-taman dan sukar mendapatkan daun kari serbuk kari ni memang sesuai. 

Bagi wanita yang baru berumah tangga, atau pun yang baru nak belajar memasak boleh la mencuba rempah ini. Setiap bungkusan mempunyai resepi/ cara masak yang memudahkan pelanggan utuk untuk memasak kelak. Saya pun ada pengalaman sendiri pasal rempah kari ni tau.

Sebenarnya saya bukan orang yang pandai masak kari. Selalu juga mencuba, tetapi hasilnya salalu mengecewakan. Satu hari saya tergerak hati untuk mencuba  rempah kari dari Citra Klasik ni.

Pertama kali melihat suami saya makan kari yang dimasak dengan muka yang senyum dan bertambah nasi. Sebab selalunya rempah yang biasa tu agak pahit atau tak sedap bila orang yang tidak mahir memasak.

Tetapi Alhamdulillah rempah kari ni sedap sangat walaupun tanpa santan. Dan akak di pejabat saya pun "repeat" order berkali-kali rempah kari ni. Sedap sangat katanya, anak-anaknya pun suka.

Harga  sebungkus rempah kari ni hanya la RM8.00 sahaja. Produk keluaran bumiputra dan halal.
jika nak order boleh hubungi saya.

Ahad, 10 Ogos 2014

AHLI BARU


ALHAMDULILLAH

Hujung minggu adalah hari bersama chenta hati saya. aktiviti hari ni dating dengan hubby keluar makan dan cari barang dapur je pun. Memandangkan kami masih berdua kebanyakan aktiviti pasti bersama dan harap ia akan terus begini. In Sya Allah. Amin

Minggu ni dapat cuti masak, jadi makan tengah hari di Gobang FoodCourt, layan tekak yang teringin sangat nak makan patin tempoyak ni. Restoran ni memang highly recommended sebab memang terbaik. So sape yang teringin nak makan bleh la datang ke sini cuba.

Lepas makan, shopping barang dapur pula di TF Mall Temerloh. Beli barang serba sikit untuk masak makan malam nanti. Pameran buku masih berlangsung lagi, singgah sebentar cuci mata kata orang. Tapi apa kan daya, banyak yang berkenan di hati dan akhirnya 3 buku ini menjadi pilihan.

Terima kasih kepada adik cilik yang baik hati yang beri akak guna kad ahlinya untuk dapat lebih potongan. Dia suka rela beri saya guna, terharu.

Entah kenapa saya makin suka membeli buku, mungkin harga buku makin murah kot membuatkan kita rasa mampu untuk memilikinya. Impian saya semoga satu hari nanti saya akan mempunyai perpustakaan mini sendiri di rumah.Aminn.

Saya sedang habiskan membaca buku Jadilah Wanita yang paling Bahagia. Saya suka bahasa puitis yang digunakan dalam memberi pengajaran.