Kosmo yang membuat laporan tentang kasturi:
Anugerah Kijang Jantan
Kasturi bertindak sebagai agen penyebar haruman selain dipercayai
mempunyai kelebihan dalam dunia perubatan tradisional. Ia merupakan
entiti paling berharga yang didatangkan dari tubuh kijang jantan.
'BAHAWA dinding-dinding syurga itu batu-bata dari perak dan emas.
Tanahnya pohon kimkuma (Za'faran) dan buminya kasturi.' Mengamati
petikan hadis riwayat Al-Bazzar ini membayangkan kepada kita betapa
keenakan bauan kasturi itu sudah lama disebut dan disampaikan dari
mulut ke mulut.
Sekian lama merentangi latar zaman, waktu dan
masyarakat, rahsia kehebatan kasturi terus diperkata. Hinggakan apa
sahaja yang berbau harum dikaitkan dengannya.
Ungkapan 'seharum kasturi' juga mudah ditemui dalam bait puisi turun-temurun, lirik lagu cinta dan juga bicara romantis.
Namun, sejauh manakah kita mengetahui dari mana datangnya bahan yang
istimewa ini? Bagi yang keliru, kasturi disangkakan ekstrak pati
bunga, buah-buahan atau kulit kayu, sebagai mana dalam industri
pembuatan minyak wangi.
Sebenarnya, istilah kasturi (bahasa
Inggeris: musk) merujuk kepada kandungan yang terdapat dalam bintil
kelenjar kijang jantan.
Walaupun kerap ditemukan di bahagian
antara perut dan genital, kasturi juga bukan janggal jika ia tumbuh di
bahagian-bahagian lain haiwan tersebut, seperti di leher, badan atas
dan juga kepala.
Apabila tertanggal atau dipotong dari tubuh
kijang tersebut, bintil kasturi yang mengering membuatkan kandungan
berwarna merah keperangan berubah menjadi hitam dan keras.
Jika ditekan kuat atau diketuk, butiran kecil akan terkeluar darinya dan
bahan itulah yang dicampur bersama minyak atau ekstrak wangian
beralkohol.
"Sejak ratusan tahun lalu, ia digunakan dalam
pembuatan wangi-wangian. Kasturi juga bertindak sebagai agen penyebar
haruman selain dipercayai menjadikan bau haruman lebih tahan lama.
"Pendek kata, ia merupakan produk haiwan yang paling berharga dan
haiwan tertentu sahaja menghasilkannya," ujar peniaga Tarmizi Yusuff,
35, yang ditemui di bazar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Menurutnya, dalam dunia ini, hanya terdapat lima jenis haiwan yang
menghasilkan kasturi iaitu kijang jantan, lembu, musang, kura-kura dan
tikus. Paling popular adalah kasturi kijang jantan yang hidup di
pergunungan Himalaya.
"Bukan tikus yang macam kita jumpa di
lorong dan longkang, tapi jenis tikus yang besar saiznya," terangnya
segera tatkala melihat penulis mengerutkan dahi membayangkan haruman
dikaitkan dengan makhluk yang gemar habitat kotor itu.
Apa yang dimaksudkan adalah rodensia besar seperti memerang iaitu tikus muskrat (Ondatra zibethicus). .
Mula menjual kasturi di gerainya sejak tahun 2005, Tarmizi memberitahu
dia mendapat bekalan dari seorang rakan niaga dari Nepal.
"Ada
juga kasturi yang berangkai dan harganya antara RM500 hingga RM1,000,
bergantung pada bilangan kasturi yang bersambung bersama.
"Pembeli kasturi ini terdiri daripada golongan mereka yang turut
berniaga barangan yang berkaitan dengan minyak wangi. Ada juga yang
membeli sekadar minat mengumpul atau menganggapnya sebagai perhiasan.
"Lebih istimewa apabila ada pelanggan warga Bangladesh dan Pakistan
yang membelinya untuk dimakan kerana percaya ia mempunyai khasiat
perubatan," katanya.
Dalam bidang perubatan tradisional Cina,
kasturi dipercayai mampu mengembalikan kesedaran seseorang yang pitam
atau pengsan, melancarkan peredaran darah, merangsang penyingkiran
darah haid, mengurangkan kesan bengkak dan meredakan kesakitan.
Oleh kerana spesies kijang yang menghasilkan kasturi sukar ditemui,
saintis Cina beralih kepada sains dan teknologi untuk mengembangkan
potensi perubatan.
Ia dilakukan dengan penternakan artifisial
mamalia tersebut seterusnya mengekstrak bintil kasturi tanpa perlu
membunuh kijang. Pengambilan bintil kelenjar itu secara berjadual
menggalakkan penghasilan kasturi sekali gus mendorong upaya
reproduksinya.
Kasturi diangkat sebagai penawar ajaib di kalangan masyarakat konvensional di Nepal, Pakistan, Siberia dan Mongolia.
Di India pula, penggunaan kasturi telah lama diserap dalam kaedah
perubatan Ayurveda. Kononnya, ia mampu meredakan penyakit asma,
ekzema, demam, sakit kepala dan ulser. Bagaimanapun, pembuktian
klinikal masih dijalankan tentang dakwaan tersebut.
"Kegunaan
paling popular adalah dalam industri pembuatan minyak wangi. Baik
minyak wangi atau atar yang didatangkan dari Mekah atau India, terdapat
juga pengusaha yang memasukkan butiran kasturi itu ke dalam botol
jualan. Ia akan menambah nilai harganya," kata Tarmizi.
"Ada
yang keliru tentang hukum ia digunakan untuk bersembahyang. Kalau
hendak mengulas lebih mendalam tentang itu, saya kurang arif," ujarnya.
Dianjurkan pertanyaan ini kepada Mufti Johor, Datuk Noh Gadot berkata,
kekeliruan mengenai hukum sah dibawa sembahyang ini terjadi
memandangkan kasturi berasal dari haiwan.
Selain faktor itu,
bintil kelenjar ini juga 'dipisahkan' dari tubuh haiwan tersebut
ketika ia masih hidup, atau tidak disembelih.
"Sama seperti bulu
kambing (yang telah dibersihkan) digunakan sebagai alas atau
dijadikan sebahagian daripada pakaian ketika bersembahyang, begitulah
juga dengan kasturi.
"Hakikatnya, ia adalah entiti yang wujud
secara sendiri pada tubuh haiwan itu. Oleh kerana sifatnya yang
bersih, kasturi tidak melanggar syarat sah solat bagi seseorang yang
memakai harumannya," jelas Noh.
Bagi peniaga minyak wangi dan
kasturi seperti Tarmizi, dia mengakui ada juga di kalangan pengunjung
gerainya yang tidak mempercayai itulah rupa kasturi yang sebenar.
Menyingkap pengalamannya berniaga, kasturi jualannya itu paling kerap
dipertikai oleh warga Pakistan yang mengatakan bahawa agak mustahil
bagi orang biasa memiliki kasturi dengan mudah, apatah lagi dijual di
pasar atau kaki lima.
"Mereka pelik melihat kasturi dijual dengan harga semurah ini di Malaysia.
Kata mereka, kasturi jarang sekali dimiliki oleh orang di jalanan.
"Harga kasturi di kawasan asal ia ditemukan sangat mahal mengikut
kualiti gred dan keasliannya. Ia boleh mencapai harga sehingga ribuan
ringgit sebiji. Beberapa gram butiran kasturi sahaja sudah mencapai
harga ratusan ringgit," katanya.